Pioli bersedia andai Ibrahimovic, Rebic, Calhanoglu disahkan cedera

Oleh Muzaffar Musa 1 Mac 2021 169
Pioli bersedia andai Ibrahimovic, Rebic, Calhanoglu disahkan cedera
Zlatan Ibrahimovic memberikan kegusaran buat AC Milan susulan kecederaannya ketika mencatatkan kemenangan dramatik 2-1 di laman AS Roma awal pagi tadi tetapi ketua jurulatih, Stefano Pioli, menngesyaki penyerang berbangsa Sweden itu hanya mengalami keletihan.

Selepas hampir membuka jaringan pada 10 minit pertama, pengaruh Ibrahimovic dalam perlawanan Serie A itu semakin merosot sebelum dikeluarkan pada awal babak kedua.

Dia kelihatan seperti mengalami kecederaan pinggul manakala Ante Rebic, yang menjaringkan gol kemenangan Milan, dan Hakan Calhanoglu turut terpaksa digantikan berikutan masalah kecergasan.

Selepas perlawanan getir itu, yang menyaksikan Milan menamatkan rekod tanpa kalah 16 perlawaan Roma dalam perlawanan liga di gelanggang sendiri, Pioli berasakan bahawa ketiga-tiga pemain itu tidak mengalami kecederaan  serius.

"Ketiga-tiga mereka mengalami masalah otot," kata ketua jurulatih Milan itu kepada Sky Sport Italia.

"Buat masa ini, ia lebih kelihatan seperti mereka keletihan berbanding masalah serius tetapi kami akan menilainya dengan lebih teliti esok.

"Saya mempunyai ramai pemain tetapi saya harap kesemua mereka akan pulih kerana kami sedang melalui momen paling penting musim ini yang memerlukan banyak komitmen," katanya.

Gol sepakan penalti Frank Kessi sebelum waktu rehat memberikan Milan kelebihan tetapi gol ke-10 Jordan Veretout dalam saingan liga musim ini kembali mengikat kedudukan buat Roma dalam babak berikutnya.

Rebic kemudian menghasilkan penyudah berkelas dunia sebelum sejam permainan untuk mengesahkan kemenangan skuad Rossoneri itu.

Milan, yang sedang berada di tangga kedua Serie A, seterusnya akan menghadapi Udinese di San Siro pada Rabu ini dan kemenangan terbaru di Stadio Olimpico awal pagi tadi menyaksikan mereka kembali mengecilkan jurang dengan pendahulu liga, Inter Milan, kepada empat mata.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen