Pochettino: PSG akan bermati-matian menangi UCL

Oleh Muzaffar Musa 9 Mac 2021 371
Pochettino: PSG akan bermati-matian menangi UCL
Paris Saint-Germain (PSG) akan berjuang bermati-matian untuk memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertama mereka musim ini, kata ketua jurulatih pasukan itu, Mauricio Pochettino.

Juara Ligue 1 itu akan berdepan Barcelona dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Parc des Princes dan berada di laluan terbaik untuk layak ke suku akhir selepas menewaskan skuad kendalian Ronald Koeman itu 4-1 dalam perlawanan pertama bulan lalu.

Sebagai rekod, belum ada mana-mana pasukan dalam sejarah kejohanan itu gagal meneruskan kemaraan selepas membawa kelebihan tiga gol dari gelanggang sendiri.

Mereka juga telah menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap 22 perlawanan UCL di gelanggang sendiri (61 gol secara keseluruhan) sejak Disember 2015. Pasukan terakhir yang tidak dibolosi di gelanggang PSG adalah seteru Barca dalam LaLiga, Real Madrid (terikat 0-0 pada Oktober 2015).

PSG tewas kepada Bayern Munich dalam final tahun lalu -- Kingsley Coman menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam keputusan tipis itu -- tetapi Pochettino menegaskan memori pahit itu tidak akan berulang musim ini.
 
"Amat jelas, impian kelab ini adalah untuk menang (dalam kejohanan ini)," katanya kepada LFP.

"Terdapat banyak pasukan lain yang mahu memenanginya, ia bukan sesuatu yang mudah. Kami sedar akan tanggungjawab kami dan akan berjuang bermati-matian untuk mencapainya.

"Kami tidak terkesan dengan sejarah lalu. Kami datang ke sini dengan semangat yang bebas tanpa prejudis. Perkara seperti itu hanya sesuatu yang negatif.

"Dalam bola sepak, keyakinan membawa anda lebih dekat dengan kemenangan," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen