Roma cuba dapatkan semula khidmat Smalling 

Oleh Shaiful Shamsudin 19 September 2020 294
 Roma cuba dapatkan semula khidmat Smalling 
Pertahanan tengah Manchester United, Chris Smalling, berminat untuk kembali ke Roma dan akan menyertai semula kelab itu "dalam masa beberapa hari lagi", kata pengurus kelab Serie A terbabit, Paulo Fonseca.

Smalling memberikan persembahan yang memberangsangkan ketika dipinjamkan ke kelab ibu kota Itali itu sepanjang musim lalu apabila beraksi sebanyak 37 kali ketika Roma menduduki di tangga kelima liga dan mara ke suku akhir Liga Europa.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, bulan lalu memberi bayangan bahawa pertahanan itu masih memiliki masa depan di Old Trafford selepas menghidupkan semula kariernya sepanjang tempoh pinjaman berkenaan.

Namun, menjelang perlawanan pertama Roma untuk kempen 2020-21, Fonseca berharap dapat mencapai kesepakatan untuk menandatangani semula pemain antarabangsa England berusia 31 tahun itu.

"Saya sedang berurusan untuk mendapatkan Smalling. Dia ingin kembali ke Rom dan kami juga menginginkannya," katanya kepada wartawan dalam sidang akhbar menjelang pertemuan dengan Hellas Verona.

"Dalam beberapa hari lagi, saya rasa dia akan bersama kami di sini."
 

Pengurus itu turut mengesahkan Edin Dzeko akan kekal sebagai sebahagian daripada skuad Roma untuk perjalanan ke Verona walaupun diselubungi spekulasi berpindah ke kelab juara bertahan, Juventus.

"Dzeko akan terus bersama kami untuk perlawanan esok," katanya lagi. 

"Tidak wajar untuk membangkitkan hal ini, buat masa ini dia bersama kami."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen