Sporting Lisbon akhiri penantian 19 tahun juarai liga Portugal

Oleh Shaiful Shamsudin 12 Mei 2021 419
 Sporting Lisbon akhiri penantian 19 tahun juarai liga Portugal
SPORTING LISBON 1 BOAVISTA 0 

Pengurus, Ruben Amorim, berasakan segala beban yang digalas Sporting Lisbon sudah dialihkan sebaik mereka menjuarai gelaran Liga Perdana Portugal buat julung kalinya dalam tempoh 19 tahun.


Kelab kota Lisbon itu menundukkan Boavista 1-0, awal pagi tadi, untuk merangkul gelaran liga ke-19 dan pertama sejak 2001-02.

Sporting memperuntukan €10 juta (RM50j) ke atas khidmat Amorim ketika dia dilantik pada Mac tahun lalu, muncul pengurus ketiga termahal selepas Andre Villas-Boas dan Brendan Rodgers.

"Saya berasakan segala berat badan sudah lenyap," katanya kepada Sport TV selepas kejayaan Sporting itu.

"Peminat begitu mendambakan kejuaraan ini atas nilai dan risiko yang ditanggung kelab tetapi saya mahu memenangi demi pemain, kelab selain atas alasan lain yang tidak akan saya dedahkan."

 

Amorim memuji barisan anak buahnya yang mengharungi 32 perlawanan liga tanpa kalah.

"Saya mempunyai sekumpulan pemain yang hebat, kelebihannya terletak kepada pemain," katanya lagi. 

"Mereka berjuang, berkembang pesat dan sangat merendah diri. Satu lagi penderitaan dalam tempoh dua jam. 

"Ia cerminan musim kami. Kami mampu beraksi lebih baik. Kami semakin meningkat cuma gagal mendapatkan gol kedua dan kami menderita hingga wisel penamat."

Bekas pemain antarabangsa Portugal yang baru mencecah usia 36 tahun itu menambah bahawa dia tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan Sporting yang mempunyai ketetapan klausa bernilai €20 juta (RM100j).

"Saya tidak akan ke mana-mana, kecuali mereka membayar pampasannya," kata bekas pemain tengah Benfica itu.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen