Jiwa puji langkah KHM senarai jurulatih tempatan

Oleh Muzaffar Musa 5 Ogos 2020 226
Jiwa puji langkah KHM senarai jurulatih tempatan
Bekas pemain tengah skuad hoki negara, Jiwa Mohan, memuji tindakan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyenaraikan semua jurulatih tempatan dalam skuad kebangsaan.

Baginya, tindakan itu bukan satu langkah ke belakang kerana ketua jurulatih yang dipilih, iaitu Arul Selvaraj, mengamalkan corak permainan hoki moden seperti di Eropah.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Jiwa berasakan jurulatih yang dipilih itu lebih memahami corak, budaya dan taktikal pemain Malaysia.

"Ia satu keputusan yang bagus daripada KHM. Kita perlu lihat keputusan ini dari dua sudut, iaitu bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

"Ramai jurulatih muda yang dipilih merupakan bekas pemain negara dan pernah bermain di bawah kendalian jurulatih hebat seperti Paul Revington, Paul Lissek dan Stephen Van Huizen.

"Mereka adalah jurulatih yang amat berpengalaman.

"Secara tidak langsung, pemain-pemain ini (yang dipilih sebagai jurulatih) mempunyai banyak pengalaman yang boleh digunakan bagi masa depan sukan hoki (Malaysia).

"Apa yang penting, langkah betul yang telah dilaksanakan adalah memberi peluang untuk jurulatih muda ini menyahut cabaran bagi menaikkan nama hoki Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, Jiwa menambah: "Ada dua perspektif daripada masalah yang dihadapi sebelum ini.

"Apabila kita mempunyai jurulatih dari luar negara, selalunya mereka kurang faham mengenai budaya di Malaysia.

"Ia satu masalah yang sukar untuk diatasi kerana kontrak jurulatih di Malaysia hanya bagi jangka masa pendek dan mereka diberikan tugasan yang agak mustahil untuk dicapai

"Apa yang bagus di sini adalah apabila kita membawa atau menggunakan kepakaran dari Malaysia, secara tidak langsung masalah perbezaan budaya dapat diatasi.

"Jurulatih tempatan dapat memahami kehendak dan keperluan pemain.

"Kita tidak lagi boleh berfikir yang jurulatih tempatan ini tidak setaraf dengan jurulatih import kerana keadaan sudah berbeza.

"Jurulatih tempatan kini sememangnya mempunyai banyak potensi dan ilmu yang boleh disampaikan kepada pemain muda," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen