Antonio Valencia umum gantung but 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 Mei 2021 3149
Antonio Valencia umum gantung but 
Bekas kapten Manchester United, Antonio Valencia, mengumumkan persaraannya pada usia 35 tahun.

Valencia menghabiskan kariernya selama 10 tahun di Old Trafford sebelum kembali ke negara asalnya bersama LDU Quito, di mana dia beraksi selama semusim sebelum bergabung dengan kelab Mexico, Queretaro, November lalu.

Bekas pemain antarabangsa Ecuador itu juga pernah mewakili El Nacional, Villarreal, Recreativo dan Wigan Athletic sepanjang 18 tahun kariernya.

Dia mengumpulkan 277 penampilan utama buat The Red Devils dan 61 aksi seterusnya sebagai pemain gantian dengan menyumbangkan 25 gol.

Valencia, yang memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, dua Piala Liga Inggeris (EFL), tiga trofi Perisai Komuniti dan Liga Europa, mengumumkan pengundurannya di Twitter malam tadi untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat United.





"Pada usia 14 tahun, ketika saya kecil, saya meninggalkan kampung halaman dan pasukan pertama saya demi berhijrah ke ibu negara. Saya mengembara dengan penuh harapan," katanya.

"Beberapa tahun kemudian saya berkelana ke Eropah, sesuatu yang tidak pernah saya impikan. Saya beraksi di Sepanyol, kemudian datang ke rumah kedua saya: England.

"Wigan merupakan satu pengalaman yang unik dan kemudian tuhan memberikan saya peluang untuk bergabung dengan Manchester United. Saya tidak akan melupakan semua yang saya alami di Old Trafford.

"Saya tidak akan melupakan setiap gol, setiap trofi dan peminat hebat.

"Saya tidak menyangka saat ini akan datang begitu cepat tetapi badan saya mendorong saya untuk membuat keputusan ini. Saya mengumumkan pengunduran diri saya daripada bola sepak.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang telah menjadi sebahagian daripada karier dan kehidupan saya. Tuhan di tempat pertama kerana selalu memberkati saya. Zoila dan anak perempuan saya, Domenik, pula menjadi tonggak saya.

"Juga kepada ibu bapa saya kerana telah banyak berkorban. Kepada peminat di semua negara, di mana saya beraksi saya selalu berusaha memberikan yang terbaik. Terima kasih atas kasih sayang dan sokongan anda."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen