Arteta tagih Arsenal buat rombakan besar

Oleh Shaiful Shamsudin 9 Mei 2021 401
Arteta tagih Arsenal buat rombakan besar
Mikel Arteta menyeru  Arsenal supaya membuat rombakan besar-besaran dalam pasaran perpindahan sambil pengurus di bawah tekanan itu yakin dia akan terus diberi masa dan dana untuk membangkitkan gergasi itu dariada lena. 

Musim depan, The Gunners dijangka mengharungi kempen tanpa saingan Eropah buat pertama kalinya sejak 1995-96 memandangkan sedang menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pasukan London itu disingkirkan Villarreal yang dikemudi bekas pengurus, Unai Emery, dalam separuh akhir Liga Europa, Jumaat lalu sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Arteta yang dilantik menggantikannya pada 2019.

Bagaimanapun, Arteta dijangka akan menerima sokongan pemilik, Kroenke, tatkala Arsenal bersiap untuk menjadi tuan rumah kepada West Brom, awal pagi esok. 

"Pasukan ini perlu dirombak," katanya. 

"Sudah banyak perubahan dilakukan pada Disember lalu, sesuatu yang tidak dilakukan selama bertahun-tahun dan ia membuktikan di mana tahap sebenar kami. 

"Kami akan melakukan perubahan dan pemilik akan menyokongnya."


 


Arsenal tumpas tujuh kali sepanjang kempen EPL 2020-21 -- kali terakhir mereka tewas lebih banyak perlawanan liga dalam semusim ialah pada 1929-30 iaitu sebanyak sembilan kali, lalu menyaksikan The Gunners terperosok di tangga ke-14. 

Kali terakhir anak buahnya menguasai kelompok empat terbaik ialah pada 2015-16, iaitu ketika mengakhiri kempen itu di belakang juara mengejut, Leicester City.

Arteta menambah: "Masanya semakin hampir sekarang. Ini adalah satu budaya, bertahun-tahun lamanya ia sudah berlarutan. Sekiranya jarak dan jurang dengan yang pasukan lain terlalu besar, maka hampir mustahil untuk melakukannya.

"Kami masih ada waktu dan kami telah meletakkan beberapa asas yang sangat kuat dalam beberapa bulan terakhir ini dalam usaha melakukan apa yang harus kami capai."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen