Bale tidak diberi peluang untuk menyerlah di bawah Mourinho 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Mei 2021 675
Bale tidak diberi peluang untuk menyerlah di bawah Mourinho 
Gareth Bale tidak pernah berpeluang untuk membuktikan dirinya di bawah bekas pengurus, Jose Mourinho, sebaik kembali ke Tottenham, menurut ejennya, Jonathan Barnett.

Bale telah meledak empat gol dalam dua perlawanan sejak pemecatan Mourinho termasuk hatrik ketika menentang Sheffield United minggu lalu.

Pemain antarabangsa Wales itu dipinjam daripada gergasi LaLiga, Real Madrid, dengan masa depannya sejurus musim 2020-21 tidak menentu.

Barnett percaya pemain itu mungkin dalam keadaan baik selama ini tetapi tidak diberi kesempatan untuk membuktikannya sebelum Ryan Mason mengambil alih tampuk pengurusan buat sementara waktu. 

"Jika diberikan peluang dan menerapkan cara yang tepat untuk kelibatnya, anda mungkin akan sentiasa dapat menyaksikan tahap terbaiknya," kata Barnett kepada Sky Sports News.

"Dia tidak memiliki kesempatan untuk membuktikannya atau cara untuk membuktikannya."

 

Bale hanya memulakan enam perlawanan liga di bawah kendalian Mourinho, yang disingkirkan pada 19 April lalu sebelum dilantik oleh kelab Serie A, Roma, minggu ini.

"Dia menempuhi satu perjalanan yang sukar dan saya rasa ia tidak perlu," tambahnya.

"Dia kemudian diberi kesempatan dan anda boleh melihat bagaimana dia beraksi.

"Saya fikir Gareth seperti kebanyakan pemain, dia harus menikmati kehidupannya, barulah dia dapat menjelmakan sentuhan terbaik."

Bale -- menjaringkan hatrik kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kemenangan ke atas Sheffield United dan yang pertama sejak Disember 2012 -- kini meledak 14 gol dalam 30 penampilan musim ini.

Tiga golnya ke atas Sheffield United hasil enam percubaan sementara lima daripadanya tepat ke sasaran untuk dia mencetak nama sebagai pemain dari Wales keenam yang mencapai angka 50 gol EPL.

Pemain berusia 31 tahun itu kembali ke Tottenham secara pinjaman sepanjang musim ini selepas tujuh tahun berkelana ke kelab gergasi Sepanyol itu.

Pinjaman Bale akan berakhir bulan depan dan dia mempunyai kontrak setahun lagi dengan Los Blancos.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen