Chelsea puas lebur impian Manchester City ke final Piala FA Inggeris 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 April 2021 3247
 Chelsea puas lebur impian Manchester City ke final Piala FA Inggeris 
CHELSEA 1 MANCHESTER CITY 0 

Thomas Tuchel bangga dengan kejayaan sulung mengatasi Pep Guardiola dalam kariernya selepas memimpin Chelsea untuk kemenangan 1-0 ke atas Manchester City, awal pagi tadi. 


Gol tunggal daripada Hakim Ziyech menghantar The Blues ke final Piala FA buat kali keempat dalam tempoh lima musim, sekali gus memusnahkan harapan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk memenangi empat gelaran musim ini.

Guardiola belum tewas kepada Tuchel dalam lima pertemuan terdahulu ketika pengurus berbangsa Catalan itu mengemudi Bayern Munich dari 2013 hingga 2016.

Sejak mengambil alih Chelsea pada Januari lalu, Tuchel juga tampil unggul ke atas Jurgen Klopp, Jose Mourinho, Carlo Ancelotti dan Diego Simeone.

Dia gembira berhasil menewaskan pengurus yang dianggapnya sebagai yang terbaik di dunia, tetapi menggesa anak buahnya agar segera melupakan kejayaan manis ini untuk menguasai tangga keempat teratas EPL. 

"Jika anda beraksi menentang Pep, anda tahu anda perlu berdepan pasukan yang di tahap tertinggi di Eropah kerana di mana sahaja dia berada, dia adalah penanda aras pasukannya. Ia dibuktikannya dalam EPL" kata Tuchel dalam sidang media. 

"Tetapi adalah menjadi sasaran kami untuk menutup jurang itu selama 90 minit ini kerana dalam bola sepak, jika anda mencapai momentum yang baik, anda mampu merealisasikannya. 

"Saya gembira dan bangga dengan persembahan pemain saya kerana kami beraksi keberanian tinggi. Kami berani dengan dan ketika kehilangan bola.


 


"Kami memang berhak menang, itu yang paling mustahak. Kami sangat aktif dan tidak pasif. Kami layak menang, seperti yang saya katakan Guardiola mungkin adalah seorang pengurus terbaik dan jelas sekali mereka salah sebuah pasukan terbaik, jadi kami sangat gembira dengan persembahan ini.

"Ia akan menjadi dorongan besar dalam menyuntik keyakinan, kemajuan serta perkembangan kami kerana kami dibarisi ramai pemain muda. Adalah penting untuk mengutip pengalaman ini bersama-sama. 

"Yang paling penting sekarang adalah menikmatinya hari ini dan mulai esok, ia akan menjadi kisah lampau dan kami perlu beralih kepada minggu penting EPL. 

"Hari ini, sasarannya adalah untuk menutup jurang dengan Man City sepanjang 90 minit. Ia adalah satu sasaran yang tinggi dan kami fokus kepadanya dan berjaya melakukannya.

"Sasaran utama yang berikutnya adalah melupakan prestasi dan kejayaan ini untuk kami menyedari betapa pentingnya minggu depan."

Chelsea akan menantikan kunjungan Brighton & Hove Albion pada Rabu depan sebelum menentang West Ham di tempat lawan, Ahad depan.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen