EPL: Liverpool tandatangani pertahanan baru

Oleh Muzaffar Musa 11 Ogos 2020 1321
EPL: Liverpool tandatangani pertahanan baru
Liverpool menandatangani pertahanan baru, Konstantinos Tsimikas, dengan kontrak jangka panjang.

Pemain kebangsaan Greece itu, yang beraksi di posisi pertahanan kiri, menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan dengan yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai £11.7 juta (RM64.3 juta) daripada Olympiakos.

kedatangan pemain berusia 24 tahun itu akan memberikan lebih pilihan selain Andy Robertson bagi memperkuatkan skuad kendalian Jurgen Klopp itu menjelang musim 2020-21.

Liverpool turut dikaitkan untuk mendapatkan pemain Norwich City, Jamal Lewis, tetapi dilaporkan tidak bersetuju dengan tanda harga yang diletakkan buat pemain kebangsaan Ireland Utara itu.

"Saya amat gembira. Saya amat berbangga. Bagi saya ia adalah kelab terbaik di dunia," kata Tsimikas dalam laman web rasmi Liverpool.

"Ia satu penghormatan untuk saya berada di sini dan saya akan memberikan yang terbaik.
 
"Saya amat menggemari liga di sini. Saya menontonnya di televisyen dan sentiasa mempunyai impian dari kecil untuk datang dan bermain dalam liga ini dan ia telah menjadi kenyataan.

"Dengan usaha keras dan fokus terhadap apa yang saya lakukan dan apa yang jurulatih mahukan dan berusaha keras dalam latihan setiap hari, saya dapat berada di tahap tertinggi.

"Saya mahu mencapai impian kami. Untuk memenangi liga sekali lagi dan memenangi Liga Juara-Juara Eropah," katanya.

Tsimikas bermain dalam kedua-dua perlawanan ketika Olympiakos menyingkirkan Arsenal dalam Liga Europa sebelum laluan mereka disekat Wolves dalam pusingan berikutnya.

Kedatangannya akan mewujudkan persaingan di posisi yang sebelum ini menjadi milik Robertson.

Pemain kebangsaan Scotland itu beraksi dalam 36 perlawanan liga musim ini dengan Klopp turut menggunakan pemain tengah, James Milner, di posisi itu.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen