EPL: Solskjaer enggan ulas mengenai Sancho

Oleh Muzaffar Musa 11 Ogos 2020 205
EPL: Solskjaer enggan ulas mengenai Sancho
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, enggan mengulas mengenai spekulasi yang mengaitkan Jadon Sancho dengan skuad The Red Devils itu sebaik pasukannya melangkah ke separuh akhir Liga Europa awal pagi tadi.

United mengesahkan tempat sebagai empat pasukan terbaik dalam kejohanan itu selepas menewaskan wakil Denmark, Copenhagen, 1-0 dalam masa tambahan di Cologne.

Bruno Fernandes menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-95 untuk pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mencongak perhitungan sama ada dengan Wolves atau Sevilla.

Tetapi tumpuan dalam sidang media selepas perlawanan itu beralih ke arah spekulasi mengenai bintang Borussia Dortmund, Sancho.

Pengarah Kesukanan Dortmund, Michael Zorc, terdahulu menegaskan bahawa Sancho akan kekal bersama pasukan itu walaupun sedang mendapat perhatian daripada United.
 
Ditanya mengenai isu itu, Solskjaer berkata: "Saya tidak boleh memberikan komen mengenai pemain pasukan lain, saya tidak boleh buat seperti itu. Anda tahu saya tidak akan melakukannya."

Mengenai pertemuan di Cologne itu, Solskjaer menambah: "Saya gembira kami dapat mara. Saya fikir kami layak untuk menang malam ini. Ia mungkin malam yang berakhir dengan sepakan penalti. Mereka membuatkan kami berdepan kesukaran.

"Kami berdepan pasukan yang amat baik, amat tersusun.

"Mereka mempunyai perancangan -- kami sedar mereka sukar untuk dibolosi. Kami tahu kami akan memperoleh peluang," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen