Final Piala FA: Arteta berterima kasih kepada Guardiola

Oleh Muzaffar Musa 2 Ogos 2020 4022
Final Piala FA: Arteta berterima kasih kepada Guardiola
Mikel Arteta berterima kasih kepada pengurus Manchester City, Pep Guardiola, selepas Arsenal menewaskan Chelsea 2-1 dalam final Piala FA untuk memberikannya sesuatu yang digelar "momen terbaik dalam kariernya".

Arteta meninggalkan jawatan penolong jurulatih di City pada Disember lalu selepas tiga tahun bersama Guardiola bagi menggantikan Unai Emery di Stadium Emirates.

Pengurus berusia 38 tahun itu mengecap kejayaan dalam kempen pertamanya di Arsenal selepas mengungguli perhitungan di Stadium Wembley awal pagi tadi, sekali gus melebarkan rekod pasukan itu kepada 14 kejuaraan dalam kejohanan berkenaan.

Dan Arteta, yang menjadi pengurus pertama Arsenal memenangi kejuaraan pertama dalam musim pertama selepas George Graham melakukannya dalam musim 1986-87, menghamburkan penghargaannya buat Guardiola.

"Dia merupakan watak utama yang membantu perkembangan saya sebagai jurulatih," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Dia patut menerima penghargaan daripada saya. Saya tidak akan berada di sini tanpanya. Saya perlu berterima kasih kepadanya," katanya.



Arteta juga perlu berterima kasih kepada Pierre-Emerick Aubameyang selepas gol berganda daripada pemain itu mengubah nasib pasukannya dalam pertemuan London itu selepas Christian Pulisic terlebih dahulu meletakkan Chelsea di depan.

Pengurus berbangsa Sepanyol itu, yang berkata dalam sidang media bahawa dia yakin kapten pasukannya itu akan menandatangani kontrak lanjutan di Arsenal, memuji Aubameyang selepas memaparkan satu lagi aksi berkelas juara.

"Perlawanan besar memerlukan momen yang besar daripada pemain yang besar -- dia melakukannya dalam separuh akhir dan hari ini.

"Ramai mempersoalkan sama ada dia mampu melakukannya dalam perlawanan besar dan dia telah melakukannya hari ini.

Sebagai rekod, Arsenal menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kelapan musim ini -- kedudukan terburuk mereka sejak musim 1994-95 -- tetapi meraih tempat ke Liga Europa musim depan selepas menjuarai penentuan final itu.
   

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen