Final Piala FA: Lampard selar sikap mudah selesa Chelsea

Oleh Muzaffar Musa 2 Ogos 2020 1430
Final Piala FA: Lampard selar sikap mudah selesa Chelsea
Pengurus Chelsea, Frank Lampard, menerima bahawa pasukannya layak tewas 1-2 kepada Arsenal dalam final Piala FA di Stadium Wembley awal pagi tadi dan mengakui ia berpunca daripada sikap ambil mudah mereka sepanjang perlawanan itu.

Dua gol daripada Pierre-Emerick Aubameyang menyaksikan Arsenal bangkit daripada ketinggalan selepas Christian Pulisic terlebih dahulu meletakkan Chelsea di depan.

Lampard berkata musim Chelsea sudahpun berakhir selepas masalah kecederaan yang membelenggu mereka dalam perlawanan itu, di mana kecederaan paha memaksa Cesar Azpilicueta dan Pulisic dikeluarkan manakala pemain gantian, Pedro, turut terseliuh bahu.

Chelsea turut kehilangan Mateo Kovacic, yang dilayangkan kad kuing kedua pada minit ke-73, sekali gus memusnahkan harapan mereka untuk menyamakan kedudukan.
 
Lampard berkata kepada BBC One: "Kami bermula baik pada 10 atau 15 minit pertama, menjaringkan gol, memperoleh satu lagi peluang, mengawal permainan dan kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri selepas waktu itu daripada aspek bola sepak kerana kami memilih untuk mengawal keadaan dan mula berasa selesa, cuba memegang bola terlalu lama, cuba dan bermain hantaran pendek dan seperti sedikit kurang berusaha.

"Perlawanan final tidak boleh seperti itu. Kami membenarkan mereka untuk kembali dalan permainan dan apabila ia berlaku, amat sukar untuk anda kembali dalam permainan.

"Kami melakukannya dalam kebanyakan waktu babak kedua tetapi ia semua berpunca daripada kami.

"Kami perlahan, bermain ke belakang, membenarkan lawan memberikan tekanan. Kami tidak beraksi cukup baik untuk memenangi final ini.

"Ia menimpa kami hari ini, bukankah seperti itu! Kami berada di bawah tahap sebenar sejak dari mula, dua kecederaan paha, bahu yang terseliuh. Willian cedera semalam dan terpaksa menarik diri daripada perlawanan ini.

"Kami sudah berada di penghujung musim yang amat-amat panjang.... Ia seperti sudah berada di penghujungnya hari ini," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen