Ia memang bukan penalti, kata Tuchel

Oleh Muzaffar Musa 1 Mac 2021 5119
Ia memang bukan penalti, kata Tuchel
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, berkata bahawa dia terkejut dengan reaksi daripada kem Manchester United selepas tidak diberikan sepakan penalti dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di mana kedua-dua pasukan itu terikat 0-0 awal pagi tadi.

United terkilan apabila tidak diberikan sepakan penalti dalam babak pertama perlawanan di Stamford Bridge itu.

Dalam insiden itu, pengadil, Stuart Artwell, menyemak keadaan berkenaan dengan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) sama ada United perlu diberikan sepakan penalti atau tidak susulan bola kelihatan terkena tangan Callum Hudson-Odoi, yang ketika itu sedang bertentangan dengan Mason Greenwood.

Attwell, bagaimanapun, tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberikan sepakan penalti dan ia mencetuskan kekecewaan buat pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, dan pertahanan sayap, Luke Shaw.
 
Selepas itu, Tuchel -- yang menjadi pengendali kedua meraih rekod tanpa bolos dalam empat perlawanan pertama di laman sendiri sejak Brendan Rodgers melakukannya bersama Swansea City dalam musim 2011-12 -- berkata kepada wartawan: "Bagi saya, ia memang bukan penalti. Saya terkejut dan masih terkejut (dengan reaksi mereka).

"Saya tidak dapat lihat secara langsung di mana sepatutnya sepakan penalti diberikan dan apabila menyemaknya melalui gambaran lain, kami tidak dapat melihat sebarang insiden yang boleh diberikan sepakan penalti. Sehingga kini saya masih tidak faham mengapa perlu diberikan sepakan penalti."

 
Chelsea tidak pernah tewas sejak Tuchel menggantikan Frank Lampard -- The Blues tidak tewas 10 perlawanan berturut-turut dalam kesemua kejohanan.

Skuad bimbingan Tuchel itu kini berada di tangga kelima EPL dan selepas 26 perlawanan, mereka hanya dibezakan satu mata dengan kelompok empat teratas, enam mata di belakang pasukan di tangga kedua, United, dan ketinggalan 18 mata dengan pendahulu liga, Manchester City.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen