Jones dedikasi jaringan buat Alisson

Oleh Muzaffar Musa 1 Mac 2021 1456
Jones dedikasi jaringan buat Alisson
Curtis Jones mendedikasikan jaringannya ke atas Sheffield United buat rakan sepasukannya di Liverpool, Alisson, yang kehilangan bapanya secara tragik di Brazil.

Alisson tidak disenaraikan sebagai sebahagian daripada barisan pemain Liverpool ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu merakamkan kemenangan 2-0 ke atas The Blades awal pagi tadi.

Terdapat laporan bahawa Jose Agostinho Becker meninggal dunia kerana lemas ketika berenang di rumah peranginannya Rabu lalu. Individu berusia 57 tahun itu didapati hilang sebelum proses pencarian menemui mayatnya tidak lama selepas itu.

Jones membuka jaringan di Bramall Lane sebelum gol sendiri Kean Bryan mengesahkan kemenangan skuad The Reds itu.

"Ia waktu yang sukar buat diri saya dan keseluruhan pasukan ini tetapi saya gembira kerana tersenarai sebagai penjaring dan saya mahu mengambil kesempatan ini untuk berkata bahawa gol ini sebenarnya adalah untuk bapa Ali," kata Jones kepada Sky Sports.

"Jadi, semoga dia tenang di sana dan jika Ali melihatnya, ini untuk anda saudaraku."

Ditanya seberapa sukar berita itu diterima keseluruhan skuad Liverpool, Jones menambah: "Dia sorang pemuda yang tabah, sudah pasti sebahagian besar daripada pasukan ini.

"Dia tidak berada di sini hari ini, sudah pasti kami merinduinya. Saya mahu memberikan gol ini buatnya, bapanya dan seluruh keluarganya."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen