Jurgen Klopp fahami alasan Manchester United turunkan barisan kedua jumpa Leicester 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 Mei 2021 3853
Jurgen Klopp fahami alasan Manchester United turunkan barisan kedua jumpa Leicester 
Jurgen Klopp memahami sepenuhnya alasan Ole Gunnar Solskjaer untuk meletakkan barisan kedua dalam kekalahan Manchester United kepada Leicester City.

Harapan Liverpool untuk ke Liga Juara-Juara (UCL) semakin samar dengan kemenangan 2-1 The Foxes itu di Old Trafford, semalam. 

Solskjaer membuat 10 rombakan ke atas kesebelasan utamanya yang bangkit menewaskan Aston Villa, Isnin lalu, dengan hanya Mason Greenwood -- meneruskan rentak gol dengan mencetak jaringan kelapannya dalam lapan perlawanan sejak 21 Mac lalu -- mengekalkan tempatnya.

Kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membolehkan Leicester memungut 66 mata, dua mata mengatasi Chelsea yang di tempat keempat sementara sembilan mata mendahului Liverpool yang menguasai tangga keenam dengan kelebihan satu perlawanan. 

Beberapa pihak berang dengan keputusan Solskjaer itu yang mengutamakan perlawanan menentang The Reds, awal pagi esok, namun Klopp percaya rakan sejawatannya di United tersebut tidak mempunyai banyak pilihan.

Perlawanan itu ditangguhkan ekoran tunjuk perasaan peminat pada awal bulan lalu, lantas penjadualan semula menghadiahkan United tiga perlawanan dalam tempoh lima hari.

"Ia satu kesebelasan yang sudah dijangkakan. Tidak tepat tetapi saya tahu dia harus membuat rombakan. Mereka perlu beraksi pada Ahad, Selasa, Khamis," kata Klopp, yang belum menang di Old Trafford sebagai pengurus, dalam sidang media pra-perlawanan.

"Saya telah mengatakannya 500 kali, atas sebab yang mendorong tunjuk perasaan di Manchester terjado telah mengheretnya ke situasi ini. Perlu beraksi pada Ahad, kemudian Selasa dan Khamis adalah satu jenayah. Ini bukan salah Ole Gunnar Solskjaer dan pemain.

"Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah saya akan melakukan hal yang sama? Ya, saya harus. Kami sudah sampai ke penghujung musim ini. United mara ke final Liga Europa, ini bererti kami telah mengharungi perlawanan."

 

Klopp juga mempersoalkan mengapa pengelola EPL, FA, tidak boleh melangsungkan perlawanan ini pada 16 Mei dengan meminda perlawanan membabitkan Liverpool dengan West Brom.

"Kini kami perlu menempuhi aksi pada hari Ahad, Selasa, Khamis. Ia mustahil. Tetapi kali ini adalah cuti hujung minggu buat United. Mereka akan beraksi Khamis (awal pagi esok) dan menikmati pada hujung minggu," sambungnya.

"Saya bukan orang yang mengatur jadual, senarai perlawanan tetapi kami telah terlintas mengenai soal perlawanan diatur semula ketika pulang menaiki bas.

"Kami sepatutnya boleh bertemu West Brom dulu (yang menjadi pencabar mereka hujung minggu ini) pada Selasa atau Khamis minggu ini. Tetapi ia tidak berlaku.

"Penjelasan daripada penganjur ialah tidak ada pasukan lain yang harus menderita atas insiden yang berlaku di Manchester. Itu tidak berjalan lancar. Jelas kelab yang tidak akan rugi ialah West Ham, juga Liverpool.

"Tetapi jika kami tidak layak ke UCL, itu bukan salah Solskjaer atas pemilihan skuadnya mahupun FA, ia salah kami sendiri.

"Tetapi dalam kes ini, saya rasa mereka boleh mengambil langkah yang berbeza. Tetapi kami semakin terbiasa dengan perkara yang hampir tidak memihak kepada kami atau jadi kami perlu akur."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen