Kecederaan Harry Kane buat Tottenham cuak 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 April 2021 1010
 Kecederaan Harry Kane buat Tottenham cuak 
EVERTON 2 TOTTENHAM 2 

Jose Mourinho berusaha untuk bersikap optimis mengenai kecederaan yang dialami Harry Kane selepas Tottenham terikat 2-2 dengan Everton, sebentar tadi, sambil menjelaskan masih terlalu awal untuk mengetahui tahap kecederaannya. 


Kane memperagakan sentuhan berbisanya di Goodison Park apabila meledak kedua-dua gol buat pasukan asuhan Mourinho itu. 

Jaringan pertama ketua pasukan England itu menyaksikan dia merekodkan gol ke-20 Liga Perdana Inggeris (EPL) buat musim kelima, satu rekod yang lebih baik daripada Alan Shearer (tujuh) dan Sergio Aguero (enam).

Gol keduanya pula mengesahkan Spurs untuk berkongsi satu mata -- jaringan ke-12 peribadinya ketika bertemu Everton untuk mengatasi rekod jaringan ketujuh terbanyak EPL, 164, milik Robbie Fowler.


 

Begitupun, dia tidak dapat menghabiskan perlawanan itu selepas Richarlison terpijak pergelangan kakinya pada waktu kecederaan yang memaksanya terhincut-hincut meninggalkan padang. 

Hanya sembilan hari lagi sebelum Spurs beraksi dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Manchester City, ia adalah satu senario buruk buat kelab London utara itu dan Mourinho.

Selepas perlawanan, pengurus Portugis itu cuba bersikap tenang tetapi belum mampu menawarkan sebarang kepastian.

Ketika diberitahu oleh Sky Sports bahawa peminat Spurs akan cemas, Mourinho berkata: "Saya juga tetapi saya rasa terlalu awal untuk mengatakan sesuatu.

"Untuk dia meninggalkan padang di kedudukan 2-2 dengan hanya tinggal beberapa minit lagi, ini kerana dia berasakan sesuatu. Apapun saya optimis dan percaya bahawa dia mempunyai masa untuk pulih.

"Biar saya optimis dan percaya ia tidak serius. Sudah jelas dia adalah pemain yang sangat penting buat kami tetapi saya tidak boleh mengatakan banyak atau membuat spekulasi mengenainya."

Pengurus England, Gareth Southgate, turut hadir dan pasti akan memantau situasi penggempur itu secara dekat dengan Euro 2020 akan berlangsung tidak sampai dua bulan lagi.

Keputusan seri di Merseyside itu meninggalkan Spurs lima mata di belakang pasukan di tangga keempat merangkap jiran sekota, West Ham, yang bakal bertemu Newcastle United malam esok. 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen