Klopp percaya masih ada sinar UCL di hujung terowong 

Oleh Shaiful Shamsudin 9 Mei 2021 1169
 Klopp percaya masih ada sinar UCL di hujung terowong 
LIVERPOOL 2 SOUTHAMPTON 0 

Jurgen Klopp percaya kemenangan mutlak dalam empat perlawanan terakhir musim ini sudah memadai untuk memastikan Liverpool meraih tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).


Bagaimanapun, pengendali kelahiran Jerman itu mengelak daripada menaruh harapan tinggi dan berusaha mengadakan persiapan untuk bertandang ke musuh ketat, Manchester United, awal pagi Jumaat depan. 

The Reds kini enam mata menghambat pasukan di tangga keempat, Leicester City, dengan kelebihan satu perlawanan sejurus mencetak kemenangan 2-0 ke atas Southampton, awal pagi tadi. 

Bercakap selepas wisel penamat, Klopp berkongsi keyakinannya bahawa kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) masih di tangan juara bertahan itu, namun dia tidak menjangkakan akan menerima laluan mudah. 

"Ya. Sekiranya kami melakukannya, saya rasa sudah cukup," katanya kepada Sky Sports. 

"Tetapi ia satu tugas yang sangat besar. Kami akan berdepan menentang Manchester United.

"Saya sedar mereka akan beraksi pada Rabu depan dan hari ini jadi mereka sedang menempuhi jadual padat, tetapi berdasarkan skuad yang mereka miliki, mereka mampu membuat rombakan jadi tiada keraguan tentang hal itu.




"Sudah tentu tidak bagus untuk mereka beraksi tiga perlawanan dalam seminggu. Ia benar-benar gila, saya benar-benar tidak memahaminya. Tetapi itulah keadaannya.

"Kami perlu bergantung kepada keputusan lain juga. West Brom masih berjuang untuk kedudukan selamat, mungkin Burnley juga.

"Semua pasukan mempunyai sasaran dan jika mereka sudah tiada ada sasaran lagi kerana sudah mencapainya, mereka akan beraksi tanpa tekanan -- itu juga tidak bagus.

"Kami akan mengalami tekanan. Selagi kami menang, kami akan mengalami tekanan kerana kami mampu mencapai sesuatu. Kalau ia tidak menjadi, maka ia tidak akan berlaku."

Thiago Alcantara kemudian memgulangi sentimen pengurusnya apabila mengendurkan tekanan kelab Merseyside itu sebagai pilihan untuk mengatasi Leicester dan West Ham bagi merebut tangga keempat.

Pemain tengah Sepanyol itu, yang mencetak gol sulungnya bersama kelab tersebut untuk meraih kemenangan atas Southampton, berjanji bahawa dia dan rakan sepasukannya akan mencurahkan segalanya demi mencapai tujuan berkenaan.

Ditanya mengenai jaringan sulungnya itu, dia berkata: "Ini adalah satu perasaan yang luar biasa.

"Tetapi apa yang paling penting adalah tiga mata dan kami perlu terus memperjuangkan keajaiban kecil ini yang mampu kami miliki.

"Kami berusaha mencapai objektif sebanyak mungkin. Ada peluang yang sangat sempit tapi saya rasa kami juga pernah memiliki kesempatan pada masa lalu.

"Pintu kadang-kadang ditutup untuk kami tetapi tingkapnya terbuka -- jadi kami berusaha menyusup melalui tingkap."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen