Klopp terangkan sebab gemar gilir pemain 

Oleh Muzaffar Musa 31 Oktober 2020 4097
 Klopp terangkan sebab gemar gilir pemain 
Jurgen Klopp akan mengamalkan penggiliran pemain Liverpool bagi mengekalkan ketekalan dan memenuhi jadual padat yang menjadi punca pasukan bimbingannya dihimpit masalah kecederaan.

The Reds bakal berhitung dengan West Ham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi esok, sambil beberapa pemain tidak mampu menampung beban aksi pertengahan minggu dan hujung minggu berturut-turut. 

Pengurus berbangsa Jerman itu dijangka hanya mempunyai seorang pertahanan tengah senior -- Joe Gomez -- yang cergas selepas Fabinho terpaksa dikeluarkan dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL), ke atas wakil Denmark, Midtjylland, Rabu lalu akibat masalah hamstring.

Pemain Brazil itu melengkapkan masalah di bahagian benteng selepas kecederaan lutut jangka panjang yang dialami oleh Virgil van Dijk sementara Joel Matip masih bergelut dengan masalah kecergasan selepas terbabit dalam pertembungan 'derby' Merseyside.

Pemain remaja, Rhys Williams, yang menggantikan Fabinho mungkin membuat penampilan pertama EPL ketika berdepan The Hammers di Anfield tatkala juara bertahan itu menaruh harapan untuk melebarkan rekod kebal dalam 63 perlawanan.

Kecergasan pemain tengah, Thiago Alcantara dan Naby Keita, pula akan diperiksan pada saat-saat akhir susulan dilanda kecederaan ringan. 

"Kami harus berusaha bertahan dalam tempoh (sukar) ini. Bulan ini cabarannya seperti pada November atau Disember," katanya dalam sidang media malam tadi. 

"Kami mempunyai jadual yang paling padat. Kebiasaannya setiap tahun kami akan menghadapi detik ini pada Disember tetapi kami perlu menempuhinya sekarang. Itulah sebabnya kami mengambil keputusan ini dan kami akan laksanakannya.

"Fab akan terjejas, itu jelas. Dia mengalami kecederaan jadi dia akan terpinggir pada hujung minggu ini dan mungkin lebih lama lagi.

"Rawatan atau pemulihan dijalani Naby dan Thiago berjalan lancar, . Anda telah lihat kejadian Thiago (diterjah) jadi dia memerlukan sedikit masa untuk pulih.


 

"Belum tahu berapa lama (dia akan berehat) tetapi tiada ligamennya yang cedera. Dia terdesak untuk membuat langkah selanjutnya.

"Jika dia bersedia maka kami akan pertimbangkannya. Begitu juga dengan situasi Naby, cuma kecederaannya sahaja berbeza."

Klopp mengesahkan keputusannya mengeluarkan ketua pasukan Liverpool, Henderson, dalam separuh masa pertama ketika menentang Midtjylland adalah sebahagian langkah penggiliran pemain dalam beberapa minggu akan datang.

"Jordan tidak menghadapi masalah kecergasan. Cuma saya mempertimbangkan peranannya -- saya mengambil kira minit permainan yang telah membabitkan Jordan," lanjut Klopp.

"Tugas saya adalah menggunakan skuad ini dengan cara yang terbaik. Itulah yang saya cuba lakukan. Ketika bertemu Sheffield United, kami mengubah sedikit taktikal dan kami mungkin akan melakukan hal serupa pada hujung minggu ini.

"IA bergantung kepada siapa yang kami miliki dan apa yang masuk akal ketika berdepan lawan tertentu.

"Ini satu cabaran tetapi begitulah. Kami tidak mengeluh cuma saya mahu menceritakan situasinya."

Sementara itu, Klopp sedang memerah otak untuk keluar daripada masalah pertahanan ekoran ketiadaan pemain utama.

Dia menambahkan: "Menikmati mungkin bukanlah perkataan yang tepat, namun sudah lama saya mendapati hidup ini adalah satu cabaran.

"Kami hanya perlu mencari jalan penyelesaiannya dan dan memang benar saya teruja untuk menyahutnya., Saya melihat cabaran dalam situasi ini, peluang sudah tentu akan muncul.

"Kami perlu beraksi selang beberapa hari jadi itu merupakan satu cabaran. Kami akan cuba melakukan yang terbaik."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen