Piala FA Inggeris: Buku lali Kevin De Bruyne cetus resah Manchester City 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 April 2021 1153
Piala FA Inggeris: Buku lali Kevin De Bruyne cetus resah Manchester City 
Kecederaan pergelangan kaki yang dialami Kevin De Bruyne dalam kekalahan separuh akhir Piala FA kepada Chelsea "tidak kelihatan baik", kata pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Pemain antarabangsa Belgium itu terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-48 yang menyaksikan harapan City untuk mengungguli empat kejohanan berakhir dengan gol tunggal Hakim Ziyech dalam separuh masa kedua di Stadium Wembley, awal pagi tadi. 

De Bruyne akan menjalani pemeriksaan lanjut hari ini bagi menentukan tahap kecederaannya menjelang final Piala Liga Inggers (EFL) menentang Tottenham, hujung minggu depan, dan perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Paris Saint-Germain (PSG), tiga hari kemudian.

Ditanya mengenai status pemain kreatif itu, Guardiola berkata dalam sidang media: "Ketika ini dia sedang menanggung kesakitan. Esok mereka akan melakukan ujian dengan doktor. Ia mungkin tidak kelihatan terlalu bagus tetapi esok kita akan mengetahui keadaan sebenarnya."




De Bruyne merupakan salah seorang daripada tiga pemain pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang mengekalkan posisi mereka dalam kesebelasan utama dalam kemenangan ke atas Borussia Dortmund, pertengahan minggu lalu.

Guardiola menolak cadangan penggiliran pemain berskala besar itu menggambarkan rasa kurang hormatnya terhadap Piala FA.

"Kami mempunyai masa dua hari untuk pulih (setelah bertemu Dortmund) dan beraksi di tempat lawan, kami harus melakukan perjalanan dengan kereta api selama tiga jam[ke Wembley dan semua pemain boleh dipertaruhkan, tetapi jangan anggap kami tidak mengambil kira soal ini," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen