Piala FA Inggeris: Chelsea yakin saingi Manchester City di Wembley 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 April 2021 1289
 Piala FA Inggeris: Chelsea yakin saingi Manchester City di Wembley 
Thomas Tuchel yakin Chelsea mampu merapatkan jurang dengan Manchester City yang disifatkan sebagai penanda aras menuju ke peringkat Eropah di samping Bayern Munich apabila bertemu dalam separuh akhir Piala FA, tengah malam ini. 

Tuchel belum pernah menundukkan pasukan yang dibimbing Guardiola sejak bertemu dengan pakar taktikal dari Catalan itu sebanyak lima kali ketika mengendalikan Mainz dan Borussia Dortmund yang berkesudahan dua seri ketika menentang Bayern Munich.

The Blues dan City turut mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) tetapi dengan kelab London itu tercicir 20 mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut, Tuchel akur standard pasukannya masih jauh dibandingkan dengan seteru berkenaan. 

Berikutan sering muncul sebagai 'underdog' ketika di Jerman, Tuchel sebaliknya berpendapat kelabnya kali ini setaraf dengan The Cityzens ketika bertembung di Wembley, dengan mengatatakannya dalam sidang media: "Ya dan tidak. Kami harus menerima ada jurang di antara kami dan Manchester City.





"Sekiranya anda menyaksikan perlawanan EPL dan berdasarkan prestasi beberapa tahun kebelakangan ini, kami harus menelan hakikatnya. Adalah penting untuk kami mengakui realitinya namun tanpa menjadikan kami terlalu kerdil. 

"Bermula hari pertama musim depan, kami akan memburu mereka dan berusaha merapatkan jurang di antara kami. Bagi saya, di Eropah ini, ada dua pasukan yang menjadi penanda aras: Bayern Munich dan Manchester City.

"Tentu sahaja saya tahu apa yang anda mahu katakan memandangkan saya tidak mengalahkan mereka ketika di Mainz. Saya fikir kami (dia dan Guardiola) seri dua kali ketiak saya mengemudi Dortmund, satu berakhir dalam final perebutan piala menerusi kekalahan penentuan penalti dan seri sekali lagi di tempat sendiri, jadi perseteruan kami amat sengit dan sudah tiba masanya kami mengalahkan mereka, percubaan seterusnya adalah esok.

"Saya tidak percaya betapa besarnya sesebuah kelab itu, adakah kami setaraf atau tidak? Kami harus mengakui bahawa ada jurang tetapi selama 90 minit, kami cukup sedar dan sangat yakin bahawa kami benar-benar mampu menutup jurang itu dalam satu perlawanan, ia adalah satu sasaran untuk hari esok dan saya tiba dengan pasukan yang saya sangat gembira untuk dibimbing, bersaing dengan penanda aras di England dan Eropah.

"Momentum tidak memihak kami. Jika kami ingin memilikinya, kami harus mempamerkan aksi peringkat tertinggi untuk memaksa sesuatu selain memerlukan sedikit tuah. 

"Jika kami berjaya menewaskan mereka, ia akan menjadi satu dorongan besar dan jika tidak, kami harus menerimanya dan menganggapnya sebagai cabaran dan peluang untuk berkembang kerana kami pasti akan mengalami beberapa pergelutan. 

"Bukan Piala FA semata-mata, bahkan mengenai perlumbaan slot empat teratas dan UCL."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen