Solskjaer akur perlu kerap rombak kesebelasan Man Utd

Oleh Shaiful Shamsudin 8 Mei 2021 1318
Solskjaer akur perlu kerap rombak kesebelasan Man Utd
Ole Gunnar Solskjaer akur perlu mengetengahkan penggiliran barisan Manchester United yang akan dipertaruhkan bagi mengelakkan kecederaan untuk mengharungi tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam masa lima hari.

The Red Devils bakal menghadapi Aston Villa pada malam esok sebelum menjadi tuan rumah kepada Leicester City (Rabu), 48 jam kemudian menyambut kunjungan Liverpool di Old Trafford sempena perlawanan yang diatur semula berikutan tunjuk perasaan terhadap pemilik United pada hujung minggu lalu.

Ini kali pertama United terpaksa beraksi tiga perlawanan liga dalam tempoh lima hari sejak April 1992. Dalam kesempatan itu, mereka mengalahkan Southampton 1-0 di tempat sendiri sebelum seri di Luton Town dan mengalami kekalahan berturut-turut kepada Nottingham Forest, West Ham dan Liverpool. 

Mereka akhirnya kehilangan gelaran kepada Leeds United dengan empat mata.

Biarpun kejuaraan EPL di luar jangkauan mereka sekiranya pendahulu, Manchester City, mengalahkan Chelsea tengah malam ini, maka United yang di kedudukan kedua masih memerlukan empat mata lagi untuk mengesahkan slot empat teratas selain akan menghadapi final Liga Europa pada 27 Mei ini.

Solskjaer prihatin dengan keputusan yang mereka alami 29 tahun yang lalu jadi dia ingin memastikan pemainnya tidak kelelahan.

"Saya tidak pernah melihat jadual seperti itu dalam bola sepak moden sebelum ini," katanya. 

"Saya sudah meneliti dan saya tahu pada 91-92 Man United mengalami jadual serupa dan anda boleh melihat bagaimana keputusannya mulai merosot.

"Saya mahu menjaga pemain, saya akan membuat beberapa keputusan. Ia adalah perkara paling mustahak bagi mengelakkan kecederaan kerana risikinya terlalu tinggi. 



 

"Tahun ini saingan sangat sukar tetapi kami gembira dapat meneruskan perlawanan. Adalah sangat penting untuk mengambil jalan selamat. Saya memahami semua ini, saya perlu ambil langkah selamat demi pemain.

"Kami ingin cuba menurunkan pasukan yang mantap. Pada masa ini, ia tampaknya sukar tetapi mengenali anak buah saya, mereka sedia menghadapi cabaran ini. Saya akan menghadapi cabaran itu juga tetapi saya tidak boleh mengambil risiko ke atas pemain, jadi mesti ada penggiliran.

"Saya akan membuat rombakan besar dan ia hanya ditentukan pada hari perlawanan. Kami tidak dapat mempersiapkan diri seperti pasukan lain, sedangkan mereka dapat melakukan persiapan selama satu atau dua minggu, atau mungkin lima atau 10 hari."

United beraksi di Rom semalam di mana mereka melangkahkan ke final Liga Europa dengan agregat 8-5 meskipun tewas 2-3 dalam separuh akhir kedua.

Mereka kini harus bersiap sedia untuk menghadapi Villa, yang telah mengalahkan United sekali dalam 44 pertemuan EPL termasuk 21 pertembungan terdahulu di Villa Park.

"Saya mempercayai pemain saya untuk mendapat keputusan," katanya. 

"Pertama sekali, hari minggu adalah akan menjadi satu perlawanan yang getir buat kami. Kami menantikannya selepas layak ke final, ia mungkin membuatkan kami bertenaga, semoga ia menjadi kemudian mari lihat apa yang kami lakukan pada Selasa (Rabu) dan Khamis (Jumaat).

"Kami harus menerimanya dari hari ke hari dan mudah-mudahan kami dapat mengharunginya."





 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen