Tiada masalah dengan didikan bapa saya -- Noah Solskjaer

Oleh Ammar Hakim 14 April 2021 1874
Tiada masalah dengan didikan bapa saya -- Noah Solskjaer
Perang kata-kata dilancarkan Jose Mourinho selepas tamat perlawanan dengan Ole Gunnar Solskjaer kini disahut oleh anak kepada pengurus Manchester United itu, menegaskan dia 'selalu' diberi makan walaupun didikan ayahnya dipersoalkan.

Persaingan sengit dengan Tottenham di Stadium Tottenham Hotspur diikuti dengan beberapa kata-kata mencuit hati daripada dua pengurus pasukan tersebut.

Solskjaer, yang menyaksikan skuad pimpinannya menang 3-1, berasa tidak berpuas hati selepas jaringan Edinson Cavani dalam separuh masa pertama dibatalkan selepas tangan Scott McTominay tersentuh muka Son Heung-min ketika mereka dalam usaha mendapatkan jaringan.

Pengurus kelahiran Norway itu berkata selepas tamat perlawanan, ""Saya perlu katakan bahawa jika anak lelaki saya rebah seperti itu untuk tiga minit dan kesemua 10 rakannya datang ke sekelilingnya... jika dia menerimanya di muka daripada seorang rakannya dan memerlukan 10 rakan lain untuk membantunya, dia tidak akan dapat sebarang makanan."

Mourinho, yang tidak gembira dan "amat-amat terkejut" kerana tidak ditanya oleh wartawan mengenai insiden itu dalam sidang media selepas perlawanan, secara sukarela memberikan pandangannya.
 

"Berkaitan isu itu, saya mahu berkata bahawa Sonny amat-amat bertuah bapanya lelaki yang lebih baik daripada Ole kerana saya fikir sebagai seorang bapa -- saya juga seorang bapa -- anda sentiasa perlu memberikan makanan buat anak anda, tidak kira apa yang mereka lakukan.

"Jika anda perlu mencuri untuk memberikan anak anda makanan, anda perlu mencuri. Saya amat-amat kecewa, dan seperti yang kami katakan di Portugal, roti tetap roti dan keju tetap keju. Saya sudah memberitahu Ole mengenai apa yang saya fikirkan mengenai komennya," katanya.

Noah Solskjaer, anak sulung kepada pengurus United, mengambil kesempatan untuk menyampaikan komen terhadap pertengkaran antara dua bapa itu dan dengan cepat menenangkan fikiran orang yang benar-benar prihatin tentang dia tidak mendapat makanan.

Pemain Kristiansund berusia 20 tahun itu berkata, "Saya juga banyak ketawa pada hari Ahad. Max [Williamsen, rakan sepasukan] bertanya kepada saya adakah saya diberi makanan ketika dia bertemu saya sebelum latihan.

"Saya selalu diberi makan, saya dapat memberi jaminan kepada semua orang tentang perkara itu. Mourinho mungkin hanya mahu menarik perhatian daripada fakta sebenar bahawa mereka telah kalah."

Bagaimanapun, diancam dengan kekurangan makanan tidak menjadi masalah utama buat Noah -- "Saya tidak pernah terbaring seperti yang dilakukan Son," tambahnya.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen