Rantai gerakan Jordan Mintah -- Yusri

Oleh Ammar Hakim 6 Mei 2021 2484
Rantai gerakan Jordan Mintah -- Yusri
'Kami perlu tahu cara rantai Jordan Mintah', itu kerisauan yang dizahirkan ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah menjelang aksi ke-11 musim ini menentang naib juara Liga Perdana musim lalu, Terengganu II esok.

Kebimbangan Yusri ada rasionalnya, Mintah sudah meledak tujuh gol dalam hanya tiga penampilan musim ini, justeru skuad pembangunan usaha sama FAM-MSn itu seharusnya waspada dengan kelincahan penyerang kelahiran Ghana berusia 26 tahun itu.

Atas faktor itu, Yusri sudah kenalpasti ancaman utama skuad kendaliannya serta mengingatkan pemainnya untuk tidak melakukan kesilapan mudah seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

"Kami telah menilai permainan Terengganu FC II dan mengetahui cara untuk mengawasi gerakan Jordan Mintah. Mereka adalah pasukan yang berkualiti, seandai melakukan satu kesilapan, pasukan lawan akan menghukum kami," kata Yusri.

Sementara itu, Yusri enggan pemainnya terus tertekan di sebalik merekodkan lapan kekalahan dan dua seri daripada 10 aksi musim ini.

Enggan menjadikan alasan, Yusri yang baru sahaja menggumpulkan kelompok pemain berusia antara 17 hingga 20 tahun itu Februari lalu mahu pemainnya kekal fokus sepanjang aksi selain menitikberatkan aspek penguasaan bola.

"Mereka akan sentiasa berusaha untuk mengawal permainan. Itu sahaja cara untuk menggugat perancangan pasukan lawan. Setiap kali kesilapan dilakukan, ia akan digunakan terhadap kami."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen