Tiga pemain Skuad Projek FAM-MSN pamer peningkatan ketara -- Yusri

Oleh Muzaffar Musa 18 April 2021 833
Tiga pemain Skuad Projek FAM-MSN pamer peningkatan ketara -- Yusri
Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah, berkata terdapat tiga pemain dalam pasukannya telah menunjukkan peningkatan yang amat ketara walaupun tewas 0-3 kepada Kelantan United dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam semalam.

Ia merupakan kekalahan kelapan pasukan pembangunan itu daripada sembilan perlawanan musim ini dan skuad kendalian Yusri berkenaan kini terperosok di dasar liga selepas hanya meraih satu mata.

Bagaimanapun, pengendali berusia 44 tahun itu tetap berbangga dengan prestasi pemainnya, yang rata-ratanya berusia 17 hingga 20 tahun, kerana mampu beraksi baik selama 90 minit buat kali pertama dalam bulan Ramadhan.

"Saya nampak ada dua tiga pemain telah berjaya untuk bersaing dalam kancah Liga Perdana cuma kalau hanya dua atau tiga pemain, saya rasa kami tak mampu untuk teruskan (bersaing). 

"Kami perlukan kesemua pemain, jadi saya rasa kami memerlukan masa untuk pemain lain.

"Mungkin ketika ini hanya dua atau tiga pemain tetapi siapa tahu dalam enam bulan atau setahun lagi, pemain lain juga akan menyinar.

"Kerana setiap pasukan atau projek pembangunan memerlukan masa untuk pemain menyesuaikan diri dengan rintangan dan tekanan sepanjang 90 minit setiap perlawanan," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen