Banyak perlu diperbaiki 

Oleh Shaiful Shamsudin 28 Februari 2021 1412
Banyak perlu diperbaiki 
Karsten Neitzel tidak mahu cepat melatah dengan kegagalan Selangor FC meraih kejuaraan Piala Prihatin edisi pertama bertemu Kuala Lumpur United semalam.

Kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang gol dalam tempoh sebenar permainan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebelum gelaran jaguh Lembah Klang untuk kempen pra-musim Liga Super 2021 itu dimenangi tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 4-2. 

Pengendali Jerman itu tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap pencapaian tersebut namun mengelak terlalu berkeras dengan anak buahnya sebelum mereka turun bertemu Sri Pahang bagi aksi sulung musim ini, 6 Mac depan. 

"Sudah tentu saya agak kecewa kerana kami mendambakan kemenangan. Hari ini kami gagal kerana tidak menjaringkan gol. 

"Tetapi bagi saya, adalah penting untuk menunjukkan kepada pemain mengenai perkara positif tetapi dalam masa sama, tidak mengabaikan beberapa hal. 

"Kekalahan ini tidaklah begitu buruk, saya sedar pada akhirnya keputusan akan diambil kira tetapi ketika ini adalah penting untuk memberi dorongan kepada pemain kerana ia amat mustahak," katanya sejurus perlawanan. 


 

Gambar aksi daripada perlawanan #TheDerby2021 semalam di antara Kuala Lumpur United FC dan Selangor FC! #RedGiants #85Years #CreatingALegacy

Posted by Selangor FC on Saturday, February 27, 2021


Sementara itu, jurulatih The Hawks, Bojan Hodak, enggan terlalu terbawa dengan keputusan perlawanan ini di sebalik bayangan kesebelasan utama  yang bakal menjadi sandarannya musim ini. 

"Saya tidak pernah rasa gembira. Saya lebih gembira sekiranya kami memenangi perlawanan ini. 

"Aspek positifnya ialah kami tidak dibolosi dan mencipta banyak peluang. Pasti ada perkara positif dan negatif dalam setiap perlawanan. 

"Secara taktikalnya, kami masih melakukan banyak kesilapan. 

"Kami perlukan sentuhan penyudah dan persefahaman yang lebih jitu. Ini sesuatu yang lumrah memandangkan kami dibarisi enam muka baru dalam kesebelasan utama jadi mereka perlu memahami antara satu sama lain. 

"Apapun, ia satu prestasi yang boleh tahan," katanya.

Walaupun masih ada kepincangan yang perlu diatasi, pemain tengah import, Paulo Josue, sedar akan bakal menjadi nadi bagi melancarkan gerakan Kuala Lumpur. 

"Jurulatih menuntut banyak peningkatan berikutan kesilapan-kesilapan yang dilakukan. Kami sedang mengusahakannya. 

"Kami amat bergelut,  padang terasa luas. Kami perlu beri tekanan kepada lawan di samping membantu pemain tengah menyerang dan penggempur. 

"Kami agak bergelut sepanjang 90 minit, kami perlu mengimbangi permainan agar tidak terlalu mengasak dan bertahan," kata ketua pasukan itu. 


 

Keputusan Akhir ! Kita menamatkan perlawanan pra musim dengan kemenangan 2-1 ke atas selangor 2 FC ! Let’s go #Ligasuper2021 !!!

Posted by Kuala Lumpur United on Sunday, February 28, 2021

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen