Ghani nafi Liga Super makin hambar

Oleh Ammar Hakim 23 September 2020 1461
Ghani nafi Liga Super makin hambar
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, menafikan saingan Liga Super semakin hambar.

Kejuaraan Liga Super bakal memasuki tahun ketujuh dijulang lebih awal, oleh pasukan Selatan tanahair, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Walaupun masih perlu melunaskan dua perlawanan dengan kutipan enam mata penuh, JDT dianggap memiliki peluang cerah untuk berbuat demikian.

Berdasarkan kualiti pemain dan persediaan pasukan, Ghani beranggapan kelebihan JDT adalah cukup jelas dan selayaknya bergelar juara.

Malah Ghani menafikan keadaan itu mengundang persepsi hambar dalam kalangan peminat bola sepak negara melibatkan penganjuran Liga Super ekoran kekebalan JDT sejak tujuh tahun lalu.

"Saya tidak melihat kemeriahan Liga Malaysia namun berdasarkan tontonan perlawanan perlawanan di Youtube agak memberangsangkan walaupun ia melibatkan pasukan yang kurang terkenal," kata Ghani.

Tegasnya lagi, keadaan mampu berubah untuk pasukan lain andai persediaan mereka juga mampu menyaingi usaha yang dibuat JDT yang turut memiliki nama di peringkat Asia.

"JDT merupakan pasukan yang mewakili negara ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) jadi persiapan mereka cukup rapi dan saya berasakan pasukan-pasukan perlu mengikut langkah yang sama bagi memberikan persaingan yang sihat."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen