Naik taraf Stadium Shah Alam libatkan kos tinggi -- MB Selangor

Oleh Bernama 6 Ogos 2020 1653
Naik taraf Stadium Shah Alam libatkan kos tinggi -- MB Selangor
Kerajaan Negeri Selangor masih meneliti kerosakan yang berlaku di Stadium Shah Alam sebelum mengeluarkan perbelanjaan yang sepatutnya untuk proses menaik taraf venue itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kos untuk menggantikan bumbung polikarbonat dan pendawaian elektrik pada bumbung stadium itu sahaja mencecah RM30 juta dan jika ditambah dengan kos menaik taraf keseluruhan dijangka mencecah RM250 juta.

“Saya selalu berbincang dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk baiki stadium (Shah Alam) dan sebagainya. Memang perlukan masa agak panjang, paling tidak untuk ubah bumbung (stadium) sahaja mengambil masa antara empat sehingga enam bulan untuk disiapkan.

“Kalau kita ingin membaiki bumbung, kita juga perlu lihat proses pendawaian pada keseluruhannya sebab ia akan mendedahkan kesemua wayar elektrik (di sekitar bumbung stadium).

“Sebab itu kami meminta pasukan Selangor berpindah sementara ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebelum kembali ke Stadium Shah Alam pada 2022 atau 2023,” katanya.

Selangor dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada akan menggunakan Stadium UiTM di Shah Alam atau Stadium MBPJ di Kelana Jaya bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia dan kempen Piala Malaysia musim ini memandangkan Stadium Shah Alam tidak selamat untuk digunakan berikutan keadaan bumbung yang uzur.

Stadium Shah Alam, yang berkapasiti 80,000 penonton, mendapat sentuhan arkitek ternama negara, Hijjaz Kasturi, dan dibuka secara rasmi pada Julai 1994. Ia pernah menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya pada 1994 hingga 1997 sebelum Stadium Nasional Bukit Jalil siap dibina.

 -- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen