Penang, Sabah akur keputusan FAM

Oleh Ammar Hakim 27 November 2020 8288
Penang, Sabah akur keputusan FAM
Susulan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan pasukan untuk menggunakan jurulatih tanpa lesen kejurulatihan Pro AFC dalam Liga Super musim depan, Penang FC akur dengan keputusan berkenaan sekali gus memutuskan Manzoor Azwira bertindak selaku penolong jurulatih dan akan membuat lantikan ketua jurulatih baru dalam masa terdekat.

FAM menolak rayuan tiga pasukan untuk menggunakan jurulatih tanpa lesen kejurulatihan Pro AFC dalam Liga Super musim depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mengesahkan bahawa pihak Jawatankuasa Pelesenan Kelab FAM (FIP), menolak rayuan yang dikemukakan pasukan Sabah (Jelius Ating), Kuala Lumpur (Nidzam Adzha Yusoff) dan Pulau Pinang (Manzoor Azwira).

Ketika nama beberapa jurulatih tempatan dikaitkan untuk mengisi kekosongan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC, Dr. Amar Pritpal Bin Abdullah, mendedahkan sebaliknya.

"Kami sedang meneliti seorang jurulatih tetapi masih tidak boleh mendedahkannya. Kami telah berkerjasama dengan beberapa jurulatih tempatan sebelum ini, jadi kami mahu menggunakan khidmat pengendali luar negara bagi musim baru ini," katanya.

Sabah FC juga menerima keputusan FAM dengan hati terbuka sekali pun kempunan menggunakan semula khidmat Jelius Ating sebagai ketua jurulatih.

Namun, berbeza dengan Penang FC, calon jurulatih baru Sabah adalah anak tempatan bagi menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto yang sah tidak lagi bersama skuad Tambadau musim depan.

"Kami masih lagi kekal dalam saingan Liga Super namun ia bukanlah sesuatu yang dibanggakan. Buat masa ini, kami tiada jurulatih yang memiliki lesen Pro AFC, jadi pengendali yang bakal dilantik bukan dari Sabah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sabah, Verdon Bahanda.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen