Pertukaran taktikal beri pulangan tiga mata buat Kedah -- Aidil Sharin 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 September 2020 1414
Pertukaran taktikal beri pulangan tiga mata buat Kedah -- Aidil Sharin 
Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, menyembunyikan tekanan yang mula dirasainya apabila tetap bersikap positif biarpun pasukannya tewas 1-2 kepada Kedah, malam tadi. 

Ia kekalahan kedua skuad The Fighters selepas liga bersambung sekali gus meletakkan mereka di kedudukan bahaya.

"Kami main tanpa Khairul Amri Muhammad Kamal dan Nico Velez. 

"Amri (mendapat perkhabaran) tidak dapat diturunkan -- 12 jam sebelum (sepak mula) manakala Nico belum pulih jadi saya harap dia dapat beraksi pada minggu depan.

"Syahmi Zamri (penjaring gol Felda) bermain dengan bagus, namun kami gagal mencapai keputusan yang dikehendaki. 

"Bagaimanapun, saya 100 peratus mempercayai (keupayaan) anak buah.

"Inilah bola sepak dan kami perlu bangkit selain pastikan tidak jatuh ke Liga Perdana. 

"Inilah misi kami buat masa sekarang," kata Nidzam. 

Perubahan taktikal yang dilakukan ketua jurulatih Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, dalam separuh masa kedua ketika bertanding ke Stadium Tun Abdul Razak itu berjaya meletakkan skuad bimbingannya di kedudukan kedua Liga Super 2020. 

Aidil Sharin mengakui sepanjang 45 minit pertama agak sukar buat mereka, apatah lagi penjaga gol utama, Ifwat Akmal Che Kassim, mengalami kecederaan di hujung separuh masa pertama.

"Kami memberi tekanan tinggi kepada mereka dan ia berhasil. 

"Kemenangan yang dilakar ini  didorong oleh taktikal dan usaha kami untuk memungut tiga mata.

"Saya juga terpaksa merombak taktikal dengan memasukkan Azamuddin Akil untuk menguatkan jentera serangan memandangkan kami sedang memburu jaringan," kata jurulatih dari Singapura itu.

Dalam pada itu, Kedah tidak mempunyai masalah untuk berdepan saingan kelapan Liga Super menentang Sabah tatkala negeri itu sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

Jika perlawanan yang berlangsung Sabtu depan itu terpaksa diadakan di luar negeri berkenaan, barisan pemain, jurulatih dan pegawai sudah mempunyai surat pelepasan daripada kerajaan negeri. 

Dan apa yang lagi menarik dalam perlawanan itu, Hadin Azman muncul pemusnah ke atas bekas pasukannya dengan gol kemenangan berkenaan. 

"Alhamdulillah saya dapat menyumbat gol pertama pada musim ini. 

"Ini semua hasil daripada usaha keras sebelum ini dan kami dapat lonjak dari tangga ketujuh ke tangga kedua.

"KFA juga sudah mula menjelaskan gaji tertunggak secara sedikit demi sedikit. 

"Saya amat gembira dengan situasi sekarang, mereka dah selesaikan sebanyak dua bulan dan masih berbaki tiga bulan," katanya. 


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen