Shitembi gembira sarung jersi Sabah

Oleh Willie Jude 24 Mac 2020 2496
Shitembi gembira sarung jersi Sabah
Pemain import Sabah, Petrus Shitembi, mengakui sangat gembira dapat menyarung jersi Sabah selain menyifatkan keputusannya untuk berhijrah ke negeri bawah bayu itu sebagai tepat pada masanya.

"Setakat ini ia sangat menakjubkan, saya sangat menyukainya (beraksi bersama Sabah) dan saya bersyukur kerana membuat keputusan untuk menyertai pasukan ini.

"Saya fikir sudah tiba masanya untuk saya mencuba sesuatu yang baharu, kamu tahu ini adalah kali pertama saya beraksi di luar Afrika, jadi bila peluang ini hadir, saya tidak berfikir dua kali untuk membuat keputusan menyertai pasukan ini," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Shitembi antara pemain yang sering menjadi buah mulut penyokong skuad Tambadau ketika ini kerana aksi liciknya di atas padang.

Walaupun belum mencetak sebarang gol, peranan beliau yang dilihat seperti 'jeneral' di bahagian tengah telah banyak membantu skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto menghasilkan jaringan.

Beberapa gerakan serta umpanan bola daripada Shitembi turut membolehkan Sabah mampu mengumpul lima gol daripada empat perlawanan setakat ini.

Aksinya juga menerima pujian daripada beberapa pengulas serta jurulatih termasuk pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil yang menyifatkan Shitembi sebagai pemusnah pasukannya ketika mereka kecundang 1-3 kepada Tambadau dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Shitembi berkata, setakat ini, dia tidak menghadapi sebarang masalah ketika beraksi dan berlatih dengan rakan sepasukannya walaupun pasukan itu dibarisi ramai pemain muda.

"Pasukan ini hebat...mereka (rakan sepasukan) sangat baik dan membuatkan saya rasa sangat selesa, kehadiran saya disini disambut dengan sempurna.

"Pasukan ini memiliki campuran pemain muda serta berpengalaman yang baik dan ini sangat bagus untuk pasukan.

"Saya juga ingin katakan semua yang terlibat dengan pasukan termasuk pengurusan dan kejurulatihan sangat baik dengan saya, begitu juga dengan penyokong, saya sangat bersyukur mendapat layanan yang baik seperti ini," katanya yang turut berterima kasih kepada presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony kerana peluang yang diberikan.

Sementara itu, Shitembi akui saingan Liga Super sangat menarik dan kompetitif namun beliau bertekad untuk membantu Sabah mencapai kedudukan yang boleh dihormati selain cuba membantu pasukannya mencatat keputusan baik dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

"Liga Super sangat bagus dan sangat kompetitif tetapi ia akan menjadikan pasukan ini (Sabah) lebih baik, jadi saya sangat mengharapkan cabaran baru dalam hidup saya.

"Saya mahu membantu pasukan semampu yang boleh supaya kita boleh berada dalam kedudukan yang boleh dihormati, begitu juga dengan kejohanan piala yang kita sertai," katanya.

Di akhir perbualan, Shitembi turut memuji negeri Sabah sebagai sebuah tempat yang sangat menarik dan menyenangkan.

"Cantik (Sabah), penduduknya baik-baik semua, suasana yang menarik...ianya sempurna bagi saya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen