Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: Luqman Hakim manfaat ilmu di Belgium 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 Mei 2021 1460
Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: Luqman Hakim  manfaat ilmu di Belgium 
Pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, tidak kekok untuk bersaing dengan penyerang lebih senior dalam usaha membarisi Harimau Malaya. 

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berdepan tugas getir di Dubai apabila akan mengharungi tiga baki perlawanan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan. 

Norshahrul Idlan Talaha (Sarawak United) serta duo Johor Darul Ta'zim (JDT), Guilherme De Paula dan Syafiq Ahmad, antara pilihan untuk mengetuai jentera serangan bagi menghadapi cabaran Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun depan, Vietnam (11 Jun) diikuti Thailand (15 Jun).




"Saya sudah bersedia 100 peratus di sini. Insya-Allah saya akn buat lebih baik untuk diri sendiri dan pasukan. 

"Buat yang terbaik, terpulang kepada jurulatih.

"Saya akan buktikan hasil (latihan) saya di Belgium," katanya. 

Sekalipun merantau ke Belgium bersama KV Krotijk, ia tidak menghalang pemain kelahiran Kelantan itu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga angkatnya. 

"Alhamdulillah, biasalah kalau rindu keluarga. 

"Tidak silap saya ini kali ketiga beraya di luar negara. Cuma saya tempuhi pengalaman baru kali ini sebab tanpa kawan-kawan dan keluarga," tambahnya. 

Dia sempat berseloroh terpaksa meminjam baju melayu memandangkan kiriman rakannya belum sampai lagi. 

"Di sini juadah Hari Raya macam di Malaysia seperti nasi lemak, rendang, lontong dan mi kari. 

"Semuanya disediakan keluarga di sini, saya cuma pandai masak nasi goreng."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen