STL: Defenders pertaruh dua muka baru

Oleh Muzaffar Musa 7 Ogos 2020 3533
STL: Defenders pertaruh dua muka baru
PDRM Defenders akan kembali ke gelanggang latihan bermula Isnin ini dengan dua muka baru bagi mencabar saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim 2020.

Dua muka baru yang dijangka akan memperkuatkan pasukan itu, yang menamatkan saingan utama musim lalu di tangga kelapan, ialah Norhafizi Abdul Razak (apit kanan) dan Shohibul Fadillah Abdul Salam (apit kiri).

Bagi Norhafizi, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergandingan dengan Shohibul Fadillah memandangkan mereka pernah bergandingan dalam kejohanan anjuran Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebelum ini.

Walaupun gandingan barunya itu sudah lama tidak beraksi dalam aksi kompetitif, Norhafizi berasakan ia bukan satu masalah untuk mereka membentuk persefahaman bersama Defenders

"Kalau dia boleh bawa (mengikut cara permainan) saya, ia tiada masalah kerana saya juga pernah bermain bersamanya," katanya kepada wakil Astro Arena, Alice Harun.

"Mengenai latihannya, saya beranggapan bahawa dia boleh menjaga tahap permainannya.

"Saya rasa dia masih belum berhenti bermain (sepenuhnya) kerana saya dengar dia juga ada mewakili pasukan Polis di Terengganu sebelum ini," katanya.

Pengurus pasukan, Sarifudin Mohd Salleh, pula menjelaskan bahawa pasukannya tidak meletakkan sebarang sasaran bagi saingan musim ini dan berharap barisan pemainnya akan memberikan persembahan yang lebih baik berbanding edisi lalu.

"Semestinya saya mahukan keputusan yang lebih baik berbandinng tahun lalu.

"Mungkin ada sedikit peluang buat pasukan PDRM tahun ini walaupun kami tiada pemain import dan peluang itu perlu diambil.

"Saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran tetapi sudah pasti saya mengharapkan satu keputusan yang lebih baik," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen