STL: Syahir pacu kemenangan Thunder ke atas Warriors

Oleh Muzaffar Musa 19 September 2020 2589
STL: Syahir pacu kemenangan Thunder ke atas Warriors
Kemasukan Syahir Rosdi pada penghujung set pertama memastikan KL Thunder memperoleh kemenangan pertama selepas menewaskan Kelantan Warriors 2-1 dalam perlawanan Divisyen Perdana, Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Thunder, yang dibarisi Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan), pada awalnya gagal beraksi baik sehingga ketinggalan 20-16 dalam set pertama tetapi perubahan percaturan memasukkan tekong skuad kebangsaan, Syahir, menunjukkan bunga-bunga kebangkitan mereka sebelum tewas 21-17.

Dalam set kedua, Syahir dikekalkan sebagai tekong utama Thunder dan suhu perlawanan bekenaan menjadi semakin hangat apabila kedua-dua pasukan saling berkejaran mata sebelum pasukan dari ibu kota itu menyamakan kedudukan hasil kemenangan 25-23.

Hasrat Warriors untuk menebus duka dalam set kedua itu, bagaimanapun, tidak kesampaian dalam set penentuan apabila gandingan Yus Hanif Rosli (tekong), Wan Naim Izani Wan Noor (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) akur mengizinkan Thunder memperoleh kemenangan pertama selepas tewas 18-20.



Keputusan lain:
Pahang Mammoth 0 Johor Tigris 2
Penang Black Panthers 0 Selangor Pistons 2
Perak Bison 2 PDRM Defenders 1

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen