60 bekas atlet manfaat program kemahiran ditawarkan YAKEB 

Oleh Shaiful Shamsudin 12 Ogos 2020 53
60 bekas atlet manfaat program kemahiran ditawarkan YAKEB 
Yayasan Kebangsaan (YAKEB) dan Yayasan Khazanah hari ini bekerjasama menganjurkan bengkel kemahiran buat 60 bekas atlet negara yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Menerusi Program Peningkatan Kualiti Hidup Kemahiran Keusahawanan di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil -- bermula kelmarin selama tujuh hari -- mereka berpeluang menceburi bidang yang diminati dengan YAKEB akan menyediakan peralatan kepada mereka pada masa akan datang. 

Antara bengkel yang dianjurkan ialah perkhidmatan penyaman udara, memasak dan membuat kek.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berharap ia sebagai satu projek jangka masa panjang yang boleh dimanfaatkan kepada barisan bekas atlet. 

"Kami harap ini boleh dijadikan projek perintis yang membuka peluang seperti ini yang julung-julung kalinya diadakan. 

"Kami berharap mereka dapat menghabiskan kursus ini, seterusnya menerima sijil daripada sebuah universiti terkenal dan selepas itu boleh perniagaan di kediaman masing-masing atau memohon gerai yang kami sedang cuba bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Mereka juga boleh buat pemasaran secara di atas talian dan saya harap mereka berjaya pada masa akan datang," katanya hari ini. 

Tambah bekas atlet olahraga negara, P. Kuganeswari: "Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya dan anak perempuan belajar untuk membuat kecil dengan skala kecil. 

"Tiba-tiba bengkel ini ditawarkan jadi kami dapat meraih lebih pengalaman manakala tawaran kelengkapan membuka peluang kepada kami untuk meluaskan produk. 

"Ini satu idea dan peluang yang baik buat kami."

Aspek kemahiran yang berkaitan pasaran yang luas dalam usaha menjana pendapatan antara yang diberi perhatian khusus. 

Justeru, asas yang diberikan disediakan itu mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh bekas atlet karate negara, Fong Chein Wai. 

"Hari ini kami belajar buat yong tau fu, selama ni kami hanya tahu makan sahaja tetapi hari ini perlu guna tangan, kami buat sendiri. 

"Saya harap dengan ilmu ini, kami boleh buka kedai untuk berniaga bagi menambah pendapatan," katanya.

Menurut bekas atlet olahraga negara, Abdul Rahman Koya Kutty, pula "Saya datang tanpa pengetahuan tetapi Alhamdulillah sejak kelmarin, kami dapat belajar daripada mengenai elektrik dan penghawa dingin. 

"Di Kuala Lumpur sahaja, hampir setiap rumah ada penghawa dingin, sekurang-sekurangnya satu unit dan ada yang memasangnya sampai tiga buah."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen