Luncur Ais: Julian cipta fenomena

Oleh Penulis Jemputan 12 Disember 2019 366
Luncur Ais: Julian cipta fenomena
Peluncur ais negara, Julian Yee, membuktikan bahawa dia berada dalam kelas tersendiri selaku peluncur bertaraf Sukan Olimpik dengan reputasi yang cukup menarik sehingga menjadi fenomena di rantau Asia Tenggara.

Siapa sangka di negara yang beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia, akan muncul seorang peluncur ais yang mencetuskan sensasi.

Namanya tidak asing buat peminat sukan Malaysia dan kini sudah mula meniti di bibir peminat di Asia Tenggara.

Sukan SEA Filipina yang berakhir semalam menjadi bukti betapa Julian bukan sahaja dinanti-nantikan penyokong dari Malaysia, malah aksinya turut mendapat tepukan dan sorakan gemuruh di SM Megamall, Manila.  

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang amat menyokong saya sejak edisi dua tahun lalu.

"Sambutan di Malaysia dua tahun lalu amat besar dan ia diteruskan sehingga di sini (Filipina).

"Sokongan tidak henti-henti selama dua tahun ini membuatkan saya gembira.

"Saya harap (kejayaan) ini menggembirakan setiap yang menyokong saya," katanya.

Gerak tari dan kelincahan Julian membawa aura tersendiri.

Ternyata tahap keyakinan yang dimilikinya mampu menangkap setiap pandangan penonton yang teruja.

Di samping itu, dia memiliki impian untuk memperkasakan sukan luncur ais di Malaysia biarpun ia kelihatan seperti tidak masuk akal. 

"Saya berharap sukan luncur ais akan lebih didedahkan kepada umum dan orang ramai akan lebih berminat untuk menyertainya.

"Saya harap ia akan mendapat lebih banyak perhatian daripada semua pihak.

"Jadi, kita dapat menghasilkan peluncur bertaraf dunia.

"Saya fikir kita mempunyai banyak potensi," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen