Skuad ragbi tunggu masa sesuai lantik ketua pasukan 

Oleh Shaiful Shamsudin 12 Ogos 2020 132
Skuad ragbi tunggu masa sesuai lantik ketua pasukan 
Persoalan peranan ketua pasukan skuad ragbi 7s negara bakal terjawab apabila Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) membentangkan lima calon pemain senior kepada Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini untuk diserap bersama Skuad Projek 2026.

Selepas sebulan lebih berlatih, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Saizul Hafifi Mohd Noor, masih belum menamakan sebarang pemain sebagai kapten. 

Ia memberi bayangan bahawa Saizul mungkin akan menyerahkan kembali tanggungjawab itu kepada pemain senior susulan pertemuan KRM bersama MSN dalam mesyuarat jawatankuasa kerja hari ini bagi menyenaraikan sekurang-kurangnya lima pemain daripada Skuad Projek 2026.  

Hampir keseluruhan pasukan kendaliannya kini dibarisi muka daripada skuad remaja yang dipersiapkan untuk mencapai misi pingat emas dalam Sukan Asia Nagoya enam tahun lagi.





"Saya belum menamakan kapten untuk pasukan ini.

"Saya menyasarkan untuk memberikannya kepada senior untuk membantu pemain muda bagi 2021," kata Saizul. 

Sebelum ini, Mohamad Nasharuddin Ismail, bertindak menggalas tanggungjawab itu dalam Sukan SEA Filipina 2019 sementara Zulkifli Azmi pula diberikan mandat untuk mengetuai cabaran dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Agenda yang turut akan dibentangkan oleh KRM menjelang pertemuan itu ialah mendapatkan khidmat kepakaran luar negara sebagai penasihat teknikal buat skuad ragbi 7s negara.

"Kami bercadang untuk bekerjasama dengan jurulatih luar, namun ia masih dalam perkiraan berdasarkan keputusan MSN. 

"Cuma melihat kepada situasi ketika ini, kami mungkin akan cuba mendapatkannya pada tahun depan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen