UFC 254: Khabib sasar bertemu GSP selepas atasi Gaethje

Oleh Ammar Hakim 21 Oktober 2020 5937
UFC 254: Khabib sasar bertemu GSP selepas atasi Gaethje
Juara lightweight, Khabib Nurmagomedov, berkata dia hanya mahu bertemu Georges St-Pierre selepas perlawanannya dengan Justin Gaethje berakhir.

Bintang Russia tanpa kalah, Khabib (28-0), akan kembali ke dalam octagon bertemu Gaethje (22-2) di UFC 254 di Abu Dhabi Ahad ini.



Menjelang perlawanan tersebut, St-Pierre telah bercakap mengenai perlawanan berdepan Khabib jika dia mengambil keputusan untuk kembali beraksi.

Bekas juara welterweight dan middleweight, St-Pierre -- dilihat sebagai salah seorang petinju MMA terbaik -- tidak berdepan mana-mana lawan sejak mengatasi Michael Bisping pada UFC 217 tiga tahun lalu.

Membuat persiapan untuk mempertahankan rekod sempurnanya dalam UFC, Khabib telah ditanyakan mengenai petinju MMA berusia 39 tahun itu dan berkata, "Saya sangat teruja apabila bercakap tentang Georges St-Pierre.

"Saya tidak tahun jika dia mahu kembali bertanding ataupun tidak, bolehkah dia turun ke 155 atau tidak -- tetapi perlawanan ini membuatkan saya teruja.

"Dan saya berasakan perlawanan di antara saya dengan Georges akan menjadi perlawanan yang besar. Seperti perlawanan utama untuk penonton, untuk semua.

"Ini adalah satu-satunya perlawanan dalam UFC, selepas Gaethje, yang membuatkan saya teruja."
 


Khabib menolak untuk berdepan Conor McGregor atau Dustin Poirier selepas bertemu Gaethje.

Terdapat spekulasi mengenai Khabib -- yang mengatasi Poirier pada 2019 selepas mendominasi McGregor pada tahun sebelumnya -- dijangka akan bertemu pemenang perlawanan yang dijangka bakal diadakan pada 23 Januari ini.

"Saya telah mengatasi kedua-dua petinju itu dan menang dengan mendominasi mereka," kata Khabib. "Dan saya tidak berminat untuk bertemu mereka, kerana saya memerlukan sesuatu yang baru.

"Justin Gaethje memberikan motivasi kepada saya. Dia seorang yang berkualiti.

"Dustin dan Conor, mereka tidak memberikan saya semangat, tidak memberikan sebarang motivasi kepada saya. Bertinju untuk apa? Untuk legasi? Saya telah atasi mereka. Segalanya sudah berakhir untuk mereka."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen