Cub Prix: Penganjur punya alasan SIC kekal jadi pilihan pusingan keenam 

Oleh Shaiful Shamsudin 28 Oktober 2020 54
Cub Prix:  Penganjur punya alasan SIC kekal jadi pilihan pusingan keenam 
Nadi Arena semalam melaporkan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix Malaysia terpaksa ditunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Walaupun secara logiknya perlumbaan berkenaan kelihatan boleh dipindahkan ke trek yang lain, tindakan itu tetap dianggap tidak praktikal dalam krisis COVID-19 ketika ini.

"Keadaan ketika ini tidak menentukan untuk kami langsungkan perlumbaan di litar lain contohnya di Tangkak atau Kuala Terengganu.

"Kami tidak mahu mengambil risiko kerana khuatir apabila pasukan sudah melakukan perlumbaan, kemudian ia ditunda lagi. 

"Jadi kami kekal dengan pendirian untuk mengadakan perlumbaan di Sepang,"  kata pegawai komunikasi Cub Prix Malaysia, Paulynne Cheng, ketika dihubungi wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, hari ini. 




Jadual asal pusingan keenam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu sepatutnya bermula sejak 21 Oktober lalu hingga Sabtu ini sebelum ditunda kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Begitupun, harapan kelihatan pudar dengan kadar peningkatan kes COVID-19 tempatan sambil penganjur, Safe AIM Mutual Sdn Bhd, optimis untuk menamatkan musim ini selewat-lewatnya Disember atau Januari 2021.

"Sudah pasti kami bertungkus lumus untuk mejayakannya. Kami ada beberapa perancangan sokongan dan seperti kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, kami berhasrat menamatkan saingan musim ini sekitar Disember hingga Januari depan," tambahnya. 

Beberapa pasukaan serta pelumba memberi reaksi bingung mengenai penundaan pusingan itu sedangkan kejohanan bola sepak boleh dijalankan tetapi sukan permotoran tidak.

"Kalau hendak kata (sukan permotoran) ini lebih terdedah kepada jangkitan, saya tidak bersetuju.

"Bola sepak lagi dekat (bersentuhan). Risikonya lebih tinggi jadi saya harap Kerajaan Malaysia atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh memberikan sedikit kelonggaran," kata pelumba OneXOX TKKR SAG Team, Md Ramdan Rosli.  

Pendapat itu dipersetujui pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar, yang berpandangan: "Sukan dua roda tidak melibatkan sentuhan. Kalau di luar (trek) sekali pun, (fizikal) tidaklah rapat dan kami juga sentiasa memakai seragam dan berada di atas motosikal."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen