Kes COVID-19 tidak jejas harapan Cub Prix 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Oktober 2020 38
 Kes COVID-19 tidak jejas harapan Cub Prix 
Pegawai Komunikasi Cub Prix Malaysia, Paulynne Cheng, menyifatkan kes pertama COVID-19 dalam sukan permotoran tempatan tidak menjejaskan permohonan mereka untuk menyambung semula baki empat perlumbaan musim ini. 

Ia susulan pelumba OneXOX SAG Team, Muzakkir Mohammad, dijangkiti pandemik itu melalui rakan serumahnya yang bekerja di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lantas perkara terbabit tiada kaitan dengan Kejuaraan Cub Prix yang kali terakhir berlangsung di Kuala Terengganu, 19 September lalu. 

Tambahnya, Cub Prix Malaysia mempunyai jaminan keselamatan barisan pelumba dan pegawai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain sukan itu juga tidak melibatkan kontak rapat, secara tidak langsung memiliki peluang cerah untuk kembali bersambung sekitar Disember dan berakhir Januari depan seperti yang dirancang.

"Kami tidak fikir begitu (baki perlumbaan tidak dapat diteruskan).

"Ada protokol untuk menangani COVID-19 dan pandemik ini tidak boleh dielakkan berdasarkan perkembangan ketika ini.  

"Dia bukan atlet pertama yang dijangkiti. Valentino Rossi, Cristiano Ronaldo dan Novak Djokovic juga pernah dijangkiti tetapi kami harap ia tidak menular. 

"Selagi tiada perlumbaan, semua motosikal tidak dibenarkan keluar dari hentian pit.

"Malah, penjarakan fizikal dan menghadkan kakitangan juga sudah diterapkan," katanya ketika dihubungi wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, hari ini. 


 

#throwbackThursday Memasuki musim ketiga, sambutan hangat diterima Cub Prix melalui 7 pusingan perlumbaan telah...

Posted by Malaysian Cub Prix on Thursday, October 29, 2020


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen