Skuasy: Malaysia bolot emas berpasukan lelaki, wanita

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2019 358
Skuasy: Malaysia bolot emas berpasukan lelaki, wanita
Skuad skuasy negara berjaya mencapai sasaran setelah Malaysia mudah mengalahkan Singapura bagi acara berpasukan wanita dan Indonesia dalam acara berpasukan lelaki di pentas final Sukan SEA Filipina, hari ini.

Dalam final acara berpasukan wanita, Rachel Arnold menepati ramalan apabila menyumbangkan mata pertama buat skuad negara susulan kemenangan ke atas Sneha Sivakumar 11-5, 11-6, 11-3.

Biarpun gugup dalam set pertama aksi kedua, Lai Wen Li kembali bangkit dan memastikan kemenangan Malaysia dengan menewaskan Sherilyn Yang Huixian 10-12, 11-6, 11-3, 11-4.

"Saya sangat gembira terutama apabila ini satu-satunya emas buat saya. Apabila dapat beraksi dan menang, saya sangat gembira," kata Wen Li.

Bagi acara berpasukan lelaki, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar mudah mengatasi wakil Indonesia, Agung Willant, 11-8, 11-2, 11-3 untuk memberi mata pertama buat Malaysia.

Momentum jelas berpihak kepada skuad negara apabila Darren Rahul tidak menerima tentangan daripada Muhammad Faisal sehingga menamatkan perlawanan 11-5, 11-9, 11-5.

"Saya sangat gembira kerana dapat emas kedua buat Malaysia dan peribadi. Dua tahun lalu, saya peroleh satu gangsa tetapi kali ini kami pastikan emas menjadi milik Malaysia. Terima kasih kepada seluruh pasukan kerana mempamerkan aksi hebat," ujar Addeen.

"Saya rasa terlalu gembira selepas meraih gangsa dalam edisi sebelum ini. Ia perasaan yang terlalu indah. Saya bersyukur dengan kemenangan ini," tambah Darren.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen