Terbuka Antarabangsa Itali: Nadal iringi Djokovic ke suku akhir di Rom

Oleh Shaiful Shamsudin 19 September 2020 36
 Terbuka Antarabangsa Itali: Nadal iringi Djokovic ke suku akhir di Rom
Rafael Nadal masih di trek mengintai gelaran Kejohanan Tenis Antarabangsa Itali buat kali ke-10 apabila mudah menjinakkan Dusan Lajovic untuk mengikuti jejak pilihan utama, Novak Djokovic, ke suku akhir, awal pagi tadi.  

Turun dalam kejohanan pertamanya sejak Februari lalu, Nadal memperagakan aksi bertenaga di Rom bagi menyusul aksi pembukaan menentang Pablo Carreno Busta 6-1, 6-1, kelmarin, untuk satu lagi persembahan yang menarik menumbangkan Lajovic 6-1, 6-3.

Lajovic cuba memberi saingan pada awal pertarungan dengan membalas baik pukulan dan servis lawannya yang merangkumi enam kedudukan dius, menyaksikan Nadal mendahului 3-1 sebelum hanya melepaskan empat mata untuk mengungguli set pembukaan.

Lajovic menghampiri kekalahan apabila memberikan ruang buat Nadal mendahului 4-0 dan walaupun sempat memenangi 'game' ketiga, dia telah melakukan yang terdaya sebaliknya perlu akur menyerahkan kejayaan kepada pemain Sepanyol itu. 

Bagaimanapun, Nadal selaku pemain nombor dua dunia menjangkakan tidak mungkin dia dapat beraksi dengan lebih baik lagi. 

"Saya fikir telah beraksi di tahap yang sangat positif. Sudah tentu ia perlu terus meningkat," katanya. 

 

"Saya perlu terus berusaha mencapai beberapa perkara yang tidak mungkin berlaku secara automatik, tetapi saya tidak boleh terlalu mengharap. 

"Ini adalah satu lagi malam yang hebat buat saya untuk berdepan lawan yang bagus. Tiada rungutan sama sekali. Ia berlangsung jauh lebih baik daripada apa yang saya harapkan.

"Set pertama saya mendahului 6-1 tetapi saya berdepan permulaan perlawanan yang sangat sukar. Banyak pungutan mata yang baik. Saya sangat gembira, ini adalah kemenangan penting bagi saya setelah sekian lama. Untuk memulakan kejohanan ini dengan dua kemenangan adalah berita baik. "

Terdahulu, pemain nombor satu dunia, Djokovic, berasakan dia telah didesak sehingga ke tahap tertinggi oleh rakan senegara dari Serbia, Filip Krajinovic,  sebelum menang 7-6 (9-7), 6-3 untuk buat musim ke-14 berturut-turut .

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen